TAG 1566:
Bagaimana Pilihan Raya Dianggap Tidak Sah
(How election is deemed illegal) Oleh Kim Quek

Rakyat Malaysia yang naik marah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gara-gara Pilihan Raya Umum yang paling kelam-kabut dalam sejarah negara kita, mungkin tersilap tempat menyasarkan kemarahan mereka. Drama yang dicetuskan sejurus Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen pada 3 Mac lalu, menunjukkan dengan jelasnya betapa SPR hanya mengikut perintah dan arahan sahaja.

Rakyat Malaysia tentu masih ingat betapa sejurus pengumuman Perdana Menteri pada 3 Mac, Pengerusi SPR, si Jalut Rashid Rahman telah membuat satu pengumuman pula betapa SPR mahu bersidang dalam masa 14 hari untuk menetapkan tarikh hari pencalonan dan tarikh membuang undi. Tentunya pengumuman itu merupakan reaksi penerimaan notis pembubaran Parlimen daripada Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (The Sun Mac 4). Akan tetapi, secara tidak semena-mena, beberapa jam kemudiannya, Rashid masuk gear gostan dan mengadakan perjumpaan pada hari yang sama dan menetapkan hari pencalonan pada 13 Mac dan hari membuang undi pada 21 Mac.

Kenapa pula boleh terjadi perubahan mendadak itu sedangkan tidak ada notis yang diterima daripada semua speaker yang berkenaan? Kenapa pula dipadatkan tempoh hari pencalonan dengan hari membuang undi kepada satu jangka masa yang begitu pendek, sedangkan SPR mempunyai banyak ruang masa untuk mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari selepas Parlimen dibubarkan?

Sebenarnya SPR belum bersedia mengehadkan pilihan raya umum itu. Buktinya ialah daftar pengundi yang belum siap sedia dan tidak pun digazetkan pada hari Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen. Saya sedut semula laporan The Star bertarikh 4 Mac, terhadap apa yang disebut oleh Pengerusi SPR pada 3 Mac:

“Rashid berkata bahawa daftar pengundi telah digazetkan sebaik sahaja Perdana Menteri membuat pengumuman mahu membubarkan Parlimen. Kata beliau, dan mengikut undang-undang, hanya daftar pengundi yang telah diperakui dan digazetkan sebelum pembubaran yang boleh diguna-pakai dalam pilihan raya umum itu”

Sesuatu daftar pengundi tidak boleh dikira sudah digazetkan oleh seseorang dengan cara memetik jarinya dan berkata “dengan ini saya gazetkan daftar pengundi.” Penggazetannya dianggap sah hanya setelah ada maklumat mengenainya yang disiarkan dalam gazet kerajaan. Apakah tarikhnya daftar itu digazetkan? Sudah tentu bukan pada 3 Mac? Dengan hal yang demikian, daftar pengundi itu dianggap tidak sah. Dengan itu juga pilihan raya umum yang baru diadakan adalah dianggap tidak sah.

SPR menafikan bahawa sikapnya yang tergesa-gesa mengadakan pilihan raya itu sebagai sebab berlakunya kelam-kabut dalam proses pilihan raya itu. Tetapi, semua fakta menumpu kepada perkara sebaliknya. Sebagai contoh:

 - Lokasi tempat mengundi hanya disiarkan dalam laman web SPR pada petang sebelum hari mengundi, yakni Sabtu 20 Mac. Banyak panggilan kepada akhbar-akhbar pada hari Jumaat 19 Mac meminta lokasi tempat mengundi tidak pun terjawab. Pengumuman tempat mengundi yang dibuat pada saat paling terakhir telah membuatkan para pengundi tercari-cari tempat membuang undi sehingga ramai yang tidak larat ke sana-sini sehingga naik penat dan melupakan hak asasi mereka untuk mengundi.

- Banyak komputer (SPR) tidak berfungsi dan tidak dikendalikan dengan cekap oleh petugas pada hari mengundi. Kepincangan itu tentu dapat diperbaiki seandainya ada masa yang cukup untuk membuat percubaannya.

- Banyak daftar pengundi yang didapati dicemari oleh nama yang hilang dan pengundi yang dihantar ke tempat mengundi yang salah. Sudah tentu ini menunjukkan betapa daftar pengundi itu tidak disemak dahulu dan diperiksa untuk kemas kini. Mungkin juga banyak kesilapan itu disengajakan untuk tujuan menipu?

Daripada urutan peristiwa yang terjadi di atas, adalah jelas kini betapa SPR tidak sengaja memilih tergesa-gesa menguruskan pilihan raya disebabkan kerelaan hati sendiri. Memang jelas adanya tangan ghaib yang memperkudakan SPR. Begitu juga halnya dengan kisah persempadanan semula ala ‘gerrymandering’. Kalaulah tidak kerana membodek arahan tetuan politiknya, kenapa pula SPR sanggup menanggung risiko dicela dan dicaci kerana menjalankan tugas mengikut susun atur perlembagaan, sedangkan tindakan seperti itu bukannya mendatangkan faedah kepada anggota SPR itu sendiri? (Ataupun apakah benar tidak ada imbuhan peribadi darinya?)

Dengan terhenyaknya SPR setelah diserang oleh banyak pihak termasuk cacian daripada tetuan politiknya, adakah menghairankan kalau SPR melalak mahu menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan yang bebas untuk menilai kelemahan SPR? Saranan SPR agar diadakan debat di Parlimen yang melibatkan pihak pembangkang merupakan satu tindakan yang terpuji dan paling bebas yang pernah dikatakannya. Malangnya masa sudah terlambat untuk SPR menyebutnya sedangkan sudah terlalu banyak musibah yang telah disebabkannya di merata negara gara-gara pilihan raya yang penuh tipu daya.

Kini, kuasa terletak di kaki Paklah. Biarkan beliau bertindak menghadapi cabaran ini. Biarkan Parlimen masuk campur untuk menentukan satu siasatan yang berprofil tinggi untuk mengetahui apa urusan sebenar SPR sebelum ini, berbanding segala tanggungjawabnya yang termeterai dalam perlembagaan.

Kim Quek - 30.03.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN